LONDON: Henrikh Mkhitaryan tidak akan dapat beraksi untuk Arsenal sepanjang baki Liga Perdana musim ini tetapi dijangka sempat diturunkan andai Gunners mara ke final Liga Europa.
Pemain tengah itu sudah menjalani ujian imbasan selepas mengalami kecederaan lutut pada aksi suku akhir pertama bertemu CSKA Moscow minggu lalu dan hasilnya, ligamen medial lutut kirinya terjejas teruk.
Pengendali Arsenal, Arsene Wenger sudah bersedia dengan khabar buruk berkenaan namun ia tetap satu tamparan hebat buat pemain berusia 29 tahun itu yang menyertai Gunners pada jendela perpindahan Januari lalu.
Meskipun kecederaan itu memaksanya diketepikan untuk aksi domestik namun dia dijangka mampu beraksi pada pentas akhir Liga Europa yang akan berlangsung di Lyon, 15 Mei ini jika proses pemulihannya berjalan lancar.
Liga Europa menjadi satu-satunya peluang terakhir untuk Arsenal meraih trofi musim ini dan turut menawarkan tiket automatik ke saingan Liga Juara Juara tahun depan.
Arsenal kini sudah hampir melangkah ke separuh akhir Liga Europa selepas memenangi perlawanan pertama suku akhir dengan selesa dan akan berlepas Moscow untuk aksi kedua menentang CSKA Moscow.
Wenger sudah merehatkan dan menggilirkan pemainnya sepanjang kempen Eropah dan juga aksi Liga Perdana.
Wenger turut yakin betapa beliau memiliki skuad yang cergas menjelang aksi di Russia nanti. - Agensi
Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/04/410866/selamat-tinggal-mkhitaryan