LIVERPOOL: Liverpool memohon maaf kepada Manchester City selepas insiden membaling botol ketika bas pasukan pelawat itu tiba ke Anfield untuk saingan suku akhir pertama, Liga Juara-Juara awal pagi tadi.
Penyokong Liverpool didapati berkumpul sambil mengadakan 'sambutan selamat datang' untuk pasukan pelawat dan pasukan mereka sendiri dengan berbaris dekat jalan raya yang dilalui kenderaan berkenaan.
"Kami memohon maaf kepada Pep Guardiola, pemainnya, petugas dan pegawai City," kata Liverpool menerusi kenyataan hari ini.
"Gelagat segelintir penyokong kami sama sekali tidak dapat diterima dan kelab akan bekerjasama penuh dengan pihak berkuasa mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab."
Kumpulan penyokong Liverpool itu juga menyalakan suar merah dan lagu kelab ketika bas City tiba sambil tin bir dilontar ke arah bas.
Satu botol minuman juga dibaling ke arah bas City namun tidak ada kesan keretakan pada kaca tingkap kenderaan itu.
Pengurus City, Pep Guardiola, yang menyaksikan pasukannya tewas 0-3 nyata terkejut dengan insiden tersebut.
"Biasanya polis akan tahu perkara yang bakal berlaku, mereka akan bertindak menghalangnya daripada berlaku. Saya tidak sangka ia dilakukan oleh pihak Liverpool," katanya.
"Setahun yang lalu, insiden sama berlaku di Dortmund," katanya merujuk kejadian serupa ketika bas pasukan Borussia Dortmund berkunjung ke Monaco.
"Kami datang ke sini untuk bermain bola sepak dan saya benar-benar tidak faham situasi sebegini," katanya.
UEFA kini sedang menyiasat insiden berkenaan dan Liverpool berdepan denda yang berat jika didapati bersalah. - AFP
Sumber : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2018/04/407853/maafkan-kami-city